Sabtu, Mei 30, 2009

Konsert Satu Akan Penuh Kejutan

Siti bawa ilham Celine Dion

DITULIS OLEH ROSLI MANAH

Datuk Siti Nurhaliza akan mengadakan konsert solo di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 26 hingga 28 Jun 2009.

Lama Siti tak mengadakan konsert. Malah sejak menukar imej berselendang, inilah kali pertama konsert solonya diadakan di Malaysia.

Siti menjanjikan persembahan terbaik dengan membawa ilham yang diperolehi daripada konsert Celine Dion yang pernah ditontonnya sebelum ini.

Kiranya elemen hebat yang ada dalam konsert idolanya itu diambil dan akan dipersembahkan dengan menyuntik ciri-ciri beliau yang tersendiri.

Apabila menggunakan pentas Istana Budaya, pastilah ciri-ciri pentas terbaik itu juga akan membantu mencantikkan lagi Konsert Eksklusif Satu yang dibawakan olah Yayasan Nurjiwa itu.

“Pastilah kita akan menggunakan kemudahan yang ada di Istana Budaya. Rugi kalau tak gunakan kalau dah dibuat di sini,” kata Pengarah Konsert itu, Pat Ibrahim.

Pat juga membayangkan menggunakan prop yang gah seperti tangga besar bagi menampakkan konsert tersebut berskala besar dan ada kelainan daripada konsert Siti yang terdahulu.

Malah elemen teater juga turut diserapkan sesuai dengan tema konsert itu sendiri yang mengisahkan perjalanan Siti dari awal kemunculan sehingga ke hari ini.

“Lagu-lagu yang dipilih mengisahkan gambaran perasaan dan apa yang Siti lalui sepanjang menjadi penyanyi.

“Siti pilih lagu-lagu yang mewakili perasaan Siti semasa awal kemunculan, apabila lagu-lagu popular, menerima kejayaan, kesedihan dan marah apabila timbul macam-macam gosip, percintaan sehingga apa yang berlaku pada Siti hari ini,” kata Siti.

Cara Siti beramal

Sebahagian kutipan tiket konsert tersebut akan diagihkan kepada badan amal yang memerlukan bantuan.

Pihak Yayasan Nurjiwa yang diasaskan oleh Siti bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa belum memutuskan rumah kebajikan yang akan menerima sumbangan mereka.

“Orang yang menonton persembahan ini sebenarnya turut menderma kerana kutipannya akan disalurkan ke Yayasan Nurjiwa,” kata Siti.

Bagi yang ingin menderma dan tidak berkesempatan menonton masih boleh berbuat demikian dengan menyalurkan ke akaun Maybannk Yayasan Nurjiwa iaitu 514486106455. Nombor faksilimi pula, 03-22877339.

Masih digosip

Sejak berkawan sehingga berkahwin dengan Khalid, Siti tak habis-habis dilanda gosip. Cerita Khalid berkahwin lain masih diperkatakan orang.

“Siti harap orang yang menyebarkan cerita yang tidak benar itu akan kembali ke pangkal jalan.

“Siti dan suami ada juga baca tabloid yang siarkan pengakuan seorang wanita yang menafikan dia berkahwin dengan Khalid sebaliknya mengatakan namanya sama dengan nama wanita yang diperkatakan.

“Siti bersyukur kerana sehingga saat ini Siti diberi kesabaran untuk menghadapi semua ini,” kata Siti lagi.

Dia dan suami mengambil sikap berdiam dan tidak memanjangkannya ke peringkat yang lebih tinggi, mahkamah misalnya.

Masih teringat arwah bapa

Konsert tersebut juga diadakan sempena Hari Bapa. Kebetulan Siti sekarang sudah kehilangan bapanya.

“Ada juga lagu yang Siti akan sampaikan nanti menggambarkan dedekasinya kepada arwah bapa.

“Mungkin ada gambar kenangan arwah bapa akan dipaparkan pada skrin. Siti dah cakap kepada Pat, buatlah apa sahaja dan jangan beritahu Siti.

“Bukan apa, Siti takut nanti kalau Siti tengok dan timbul rasa sebak… takut tak boleh meneruskan persembahan,” kata Siti lagi.

sumber : mangga online

Curhatan Siti Tentang Penolakan Keikutsertaannya dalam Sekumlah Penghargaan


‘Kasihan industri kita’

Oleh Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my

Namun, ada pihak dari kalangan penggiat industri beranggapan selagi Siti dicalonkan di AIM, selagi itulah peluang untuk artis lain menang kategori itu dianggap mustahil.

Tahun ini juga AIM16 melakukan perubahan menilai vokal penyanyi berdasarkan lagu dan bukannya dalam album sebagaimana sebelum ini.

Siti yang menang menerusi lagu Di Taman Teman, turut dicalonkan untuk Di Kayangan Kita manakala calon lain adalah artis baru yang dicungkil bakat dari program realiti, Ayu (Hanya Di Mercu), Dina (Sejauh Ini) dan Shila (Memori Tercipta).

Dengan tegas Siti mengatakan, AIM adalah pertandingan yang dianjurkan industri seni untuk mengiktiraf usaha keras setiap pihak hingga terhasilnya satu-satu album.

Katanya, AIM dianggap begitu penting untuk mengukur pencapaian dilakukan dalam bidang seni.

Siti juga mempertahankan gelaran Penyanyi Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH2008) untuk kali ke-12 pada 12 April lalu. Untuk Anugerah Juara Lagu pula, Siti sedia mengalah untuk tidak bertanding sejak beberapa tahun lalu apabila ada pihak mengatakan asyik-asyik dia yang menang.

“Kalau ada pihak yang tidak mampu bertanding secara sihat, kasihan kepada industri kita. Saya melihat kejayaan itu sebagai bukti kerja keras yang dicurahkan apabila menghasilkan album.

“Walaupun berjaya mempertahankan gelaran Persembahan Vokal Terbaik Wanita buat kali ke-10, saya tidak pernah menganggap diri yang terbaik dan bagus sebaliknya yakin ada penyanyi lain yang lebih baik dan punya vokal yang bagus. Cuma mereka perlu bekerja lebih keras untuk mengecapi apa yang saya capai kini.

“Alhamdulillah, setiap kali muncul dengan album baru, ia mendapat penghargaan di AIM. Album Lentera Timur menang Album Pop Etnik Terbaik dan Di Taman Teman juga menang Lagu Pop Etnik Terbaik,” katanya ketika ditemui di majlis sidang media Konsert Eksklusif Satu Datuk Siti Nurhaliza di Istana Budaya, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Siti tidak hadir di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) untuk menerima anugerah itu kerana menunaikan umrah di Makkah dari 2 hingga 8 Mei. Siti membawa ibunya, Siti Salmah Bachik dan empat saudara-mara bersama.

Kata Siti, kemenangan ini juga bukan untuk dirinya seorang sebagai penyanyi malah penerbit dan komposer yang menjayakan album ini yang bertungkus-lumus buat yang terbaik.

“Apabila AIM tahun ini melakukan perubahan dengan menilai vokal berdasarkan lagu, bermakna pencalonan lebih terhad berbanding kalau dinilai persembahan vokal dalam album. Tapi jika kita buat yang terbaik, tentu diiktiraf terbaik.

“Sebenarnya Di Taman Teman dirakamkan tiga kali kerana saya mahu benar-benar puas hati. Selepas rakaman kedua, saya dengar semula dan rasa ada yang tidak sampai dengan apa yang saya mahukan menyebabkan saya meminta Fauzi Marzuki lakukan rakaman sekali lagi.

“Beliau sendiri bertanya sampai tiga kali, tetapi saya bertegas mahu lakukan sekali lagi untuk benar-benar puas. Begitu sekali ketelitian saya untuk memberikan yang terbaik. Kalau ada yang menganggap saya menyekat peluang mereka untuk menang, saya rasa kasihan kepada industri kita,” katanya.

Mengenai tindakannya mengerjakan umrah pada tarikh berlangsungnya AIM, Siti mengakui sejak kematian ayahnya, Tarudin Ismail pada 15 Februari lalu, hatinya begitu rindukan Makkah dan mahu ke sana bersama ibunya. Akhirnya memutuskan tarikh itu pada saat-saat akhir walaupun sedar berlangsungnya AIM14 pada 2 Mei.

“Hati saya sudah bulat dan itulah tarikh terbaik kerana selepas ini sibuk membuat persiapan untuk konsert. Tidak mengapalah ketika itu berlangsungnya AIM kerana setiap tahun saya hadir memberi sokongan,” katanya.

Selepas Lentera Timur dipasarkan Disember tahun lalu, tahun ini Siti mahu menghasilkan dua album iaitu album kerohanian untuk pasaran Ramadan dan duet bersama Kris Dayanti untuk akhir tahun atau awal tahun depan.

Album kerohanian itu bakal memuatkan dua lagu yang dirakamkan Siti untuk filem Indonesia, Perempuan Berkalung Sorban iaitu Ketika Cinta dan Batasku Asaku serta tiga lagu yang disampaikan ketika menjayakan pementasan Sirah Junjungan. Selebihnya lagu baru dan juga merakamkan semula lagu lama yang dirasakan sesuai.

Apapun, kata Siti buat masa ini tumpuannya ialah menjayakan Konsert Eksklusif Satu Datuk Siti Nurhaliza di Istana Budaya pada 26 hingga 28 Jun ini dan dia mempunyai masa hanya sebulah untuk membuat persiapan dari segi vokal, pernafasan dan stamina.

Konsert ini sungguh bermakna buat Siti kerana inilah persembahan pertamanya tahun ini dan dianggap eksklusif di IB kerana menampilkan lagu daripada albumnya sendiri berbanding sebelum ini konsert tribute untuk Sudirman Arshad atau Tan Sri P Ramlee dan Puan Sri Saloma.

Konsepnya juga berbeza dengan konsert yang pernah dijayakan Siti sebelum ini kerana bakal merealisasikan impiannya mengadakan persembahan seperti penyanyi idolanya, Celine Dion.

“Saya ingin cuba merealisasikan impian itu, tetapi tetap ukur baju di badan sendiri dan mengikut kemampuan. Saya sedar untuk mengadakan konsert sebegini memerlukan kos yang besar, tetapi dengan bantuan penaja yang sudi meringankan beban, saya berusaha memberikan yang terbaik.

“Konsert ini juga cukup bermakna kerana menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memberi inspirasi Satu Malaysia. Tapi konsert ini bukanlah gabungan pelbagai kaum untuk memperlihatkan elemen ’satu’ sebaliknya ditampilkan menerusi tarian dan alat muzik melalui persembahan saya sendiri.

“Ia juga konsert amal untuk disalurkan ke tabung Yayasan Nurjiwa bagi membantu badan kebajikan pelbagai kaum yang memerlukan,” katanya.

Siti akan bekerjasama dengan Pat Ibrahim sebagai Pengarah Konsert manakala Pengarah Muziknya dipertanggungjawabkan kepada Aubrey Suwito. Sebanyak 30 lagu akan disampaikan dalam konsert yang berlangsung selama dua jam itu yang bakal mengimbau perjalanan seni Siti selama 14 tahun.

Pat berkata, konsert ini bukan saja eksklusif malah istimewa dengan konsep teaterikal yang belum pernah dilakukan penyanyi tanah air sebelum ini. Akuinya, inilah peluang yang ditunggu-tunggu selama ini untuk menjayakan satu persembahan yang menggabungkan muzik, tarian dan penataan cahaya untuk membangkitkan emosi yang ingin disampaikan.

Katanya, pihaknya cuba membawa penonton menyelami pengalaman suka dan duka yang dilalui Siti melalui muzik dan lagu serta bantuan kelengkapan canggih di IB.

“Sebanyak 30 lagu disampaikan Siti melalui segmen tertentu untuk menceritakan emosi dan perjalanan seninya. Apa yang mampu saya katakan ialah ia sebuah konsert dengan konsep teaterikal terhebat yang tiada lainnya sesuai namanya Konsert Eksklusif Satu Datuk Siti Nurhaliza,” katanya.

Minggu, Mei 24, 2009

Seputar Album Rohani Siti

Album ‘Nasyid’ Siti Nurhaliza ?

BELUM pun album Lentera Timur mencapai sasaran jualan100,000unit, penyanyi Datuk Siti Nurhaliza bakal tampil dengan albumterbarubercorak kerohanian pada bulan puasa tahun ini.

Siti pernah berkata yang dia berkeinginan untuk melihat albumLenteraTimur terjual sebanyak 100,000 unit dalam tempoh enam bulan.

Siti menambah dia akur jika album itu tidak berjaya mencapai sasarannya dengan menambah: “Namun, saya faham dengan keadaan ekonom isekarang ini. Kalau dapat jual dalam 50,000 unit pun, Alhamdulillah. Tetapi kalau dapat 100,000 unit, ia merupakan kejayaan yang membanggakan.”

Dimaklumkan baru-baru ini, album itu telah terjual lebih daripada 40,000 unit.


Siti akan menghasilkan album berbentuk kerohanian pada bulan puasa nanti. -foto mStar oleh SITI AZIRA


Ditambah pula dengan kemenangan Lentera Timur sebagai album terbaik dalam Anugerah Industri Muzik ke-16, kejayaan tersebut secara automatik akan mengulang cetak album itu untuk dijual di pasaran.

Menurut pengurus Siti, Rozi Abd. Razak, lebih 2,000 unit album itu telah diulang cetak mengikut permintaan dan tempahan yang dibuat dalam pasaran.

Berbalik kepada album terbaru Siti ini, album yang belum diberikan judul itu merupakan album pertamanya yang memuatkan keseluruhan lagu berbentuk kerohanian dan ketuhanan seperti yang diimpikannya sebelum ini.

“Insya-Allah, jika tiada aral saya akan mula sibuk dengan pembikinan album kerohanian ini selepas selesai Konsert Eksklusif ‘SATU’di Istana Budaya nanti.

“Setakat ini, saya sudah mempunyai beberapa buah lagu yang akan turut dimuatkan dalam album itu seperti tiga buah lagu termasuk lagu Asmaul husna yang saya persembahkan dalam Muzikal Teater Sirah Junjungan dan dua buah lagu runut bunyi filem Perempuan Berkalong Sorban iaitu Batasku Asaku serta Ketika Cinta.

“Insya-Allah, saya akan siapkan dan terbitkan album itu sebelum akhir tahun ini,” kata Siti semasa pelancaran Konsert Eksklusif ‘SATU’diIstana Budaya baru-baru ini.

Konsert ini dijangka akan diadakan pada 26 hingga 28 Jun ini dipanggungsari, Istana Budaya dengan tiket berharga antara RM80 hinggaRM300.

Mengenai album kerohanian tadi, Siti akan memnuatkan dalam lapanbuahlagu di mana salah sebuah lagu akan turut menampilkan artisnaunganSuria Records (SRC).

“Biasanya, masa bulan puasa kita selalunya dihidangkan denganlagu-laguRaya tetapi kerohanian,” tambah Siti yang turut dalam proses mengeluarkan produk kecantikan dan penjagaan kulit.


Datuk K memberikan sokongan kepada Siti untuk mengeluarkan produk kecantikan.


Menurut Siti, kini dia sedang membuat penyelidikan (R&D) tentang produk yang dijangka akan dikeluarkan dalam tahun ini.
“Kalau tak dapat tahun ini, kita akan cuba keluarkan pada tahun depan. Setakat ini, saya telah melalui 60 hingga 70 peratus proses R&D sebelum menghasilkan produk yang lebih kepada penjagaan kulit dan kosmetik.

“Saya akan cuba hasilkan produk untuk digunakan oleh wanita dan lelaki.

“Usaha ini turut melibatkan kerjasama dengan pihak lain tetapi syarikat suami Siti tetap merupakan pengeluar utama produk ini,” ujar pelantun lagu Di Taman Teman ini.

Tambah Siti, setakat ini produk yang belum diberikan nama itu juga merupakan salah satu impian yang cuba direalisasikan olehnya sebelum ini.

“Saya memang sukakan kecantikan dan alat solek kerana kalau pergi membeli-belah, saya akan cari tempat menjual produk kecantikan terlebih dahulu.

“Jika dibandingkan dengan harga produk kecantikan yang berada dipasaran sekarang, saya akan tetapkan harga yang berpatutan untuk golongan pertengahan supaya semua peminat saya boleh memilikinya,” ulas Siti.

Siti berkata dia akan mencuba terlebih dahulu produk itu sebelum dipasarkan nanti agar pengguna dapat melihat hasilnya.

“Saya sedang mencuba produk yang mengandungi bahan mengikut kesesuaian kulit saya. Jadi, lihatlah kesannya nanti,” akhiri Siti sambil tersenyum.

sumber: mStar online

Siti Tak Layan Terpa Gossip

Isu bermadu: Siti serah kepada kuasa Allah

Siti bersama suaminya, Datuk Seri Khalid di sidang media sempena pengumuman konsertnya di Istana Budaya - foto THE STAR oleh MOHD SAHAR MISNI

GOSIP tentang penyanyi Datuk Siti Nurhaliza ‘bermadu’ kembali menghangatkan industri seni ini walaupun dia dan suami, Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa puas menafikannya.

Baru-baru ini, penulis sekali lagi menerima berita suami Siti yang glamor dengan panggilan Datuk K ini telah menikah dengan aktres jelita Rozita Che Wan di Alor Setar, Kedah.

Ditanya kepada penyanyi bersuara lemak merdu ini, Siti berkata, ‘Sudah-sudah la buat dosa..hanya Allah taala yang dapat membalasnya.’

Begitulah jawapan Siti seolah-olah sudah ‘lemas’ untuk menjawab persoalan seperti ini.

Menyelami hati wanita berusia 30 tahun ini, dapat dilihat dia tidak selesa disoal sebegitu namun riak wajahnya tetap manis dan penuh dengan senyuman.

Diduga dengan persoalan adakah dia rela untuk dimadu, Siti menjawab dengan tenang:

“Nauzubillah…sebab saya tidak pernah terfikir pasal itu (bermadu). Samada saya rela atau tidak, tak payah fikir sebab kuasa Allah.

“Saya nasihatkan supaya orang jangan fikir sampai jatuh fitnah sebaliknya kena fikir balasan yang macam mana mereka akan terima nanti. Lainlah kalau ada bukti…”

Menurut Siti, dia dan Datuk K juga ada menerima Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang bertanya tentang pernikahan suaminya itu.

Siti tetap tenang berdepan dengan gosip liar tentang rumahtangganya

“Saya terkejut apabila ada pihak yang menghubungi kami pada Ahad lalu. Waktu itu, saya, suami dan anak-anak sedang menonton wayang,” kata Siti sambil tergelak.

Sementara itu, Datuk K turut menjelaskan hal yang sama.

“Pada hari Ahad lalu, saya ada dua ‘event’ di Kuala Lumpur. Pada siangnya, saya menghabiskan masa dengan Siti, anak-anak dan kawan saya, Datuk Hamdan di Pavilion, Bukit Bintang sambil menonton wayang.

“Pada malamnya, saya menghadiri majlis perkahwinan yang dibuat oleh Lord’s Tailor.

“Pada pagi itu, semasa saya mendapat mesej (SMS) daripada wartawan, saya sedang menonton wayang dengan mereka. Lepas tengok wayang, saya dan anak yang kecil tu ‘shopping’ beli baju dia.

“Pada pukul 5.30 petang, saya menghantar anak saya pulang ke rumah dan kemudian pergi ke majlis perkahwinan itu. Mana ada saya pergi kahwin dengan sesiapa,” cerita Datuk K.

Ahli perniagaan ini juga mengakui dia tidak pernah mengenali dengan lebih rapat mahupun berhubung dengan Rozita.

“Saya tak pernah ada nombor telefon dia, saya tidak pernah menghubungi dia dan saya tak pernah ‘berdating’ dengan dia. Jadi, saya tak tahu macam mana gosip ini boleh keluar,” tegas Datuk K.

Selain itu, ramai juga yang tertanya-tanya sebab Datuk K tidak mengikuti Siti mengerjakan umrah baru-baru ini.

Jelas Datuk K, dia memang hendak mengikut isterinya namun terbatas dengan komitmen lain.

“Saya memang bercadang untuk pergi umrah pada Nisfu Syaaban iaitu tarikh 15 Syaaban kerana pada tarikh itu adalah baik untuk kita berdoa terutama untuk meminta rezeki.

“Pada masa Siti mengerjakan umrah baru-baru ini memang saya nak pergi tetapi saya ada kerja lain yang sangat penting sehingga menyebabkan saya berniat untuk pergi kemudian.

“Dan sebab yang ketiganya, Siti perlu diberi masa bersama-sama keluarganya terutama mak, abang dan kakaknya kerana waktu bersama keluarga adalah masa yang istimewa untuk beribadah seperti saya pernah mengerjakan umrah bersama-sama anak saya sebelum ini.

“Jadi, dia boleh tidur bersama mak dan kakaknya serta boleh membawa maknya ke mana-mana. Oleh itu, perhatian dia tidak perlu tertumpu kepada suaminya.

“Kualiti masa itu yang penting. Jadi, saya benarkan dia pergi bersama ibunya.

“Sejak kematian arwah bapanya, dia juga bersungguh-sungguh hendak buat umrah untuk bapanya. Jadi, Siti, abang, mak dan kakaknya sempat buat satu umrah untuk arwah bapanya.

“Jadi, saya rasa ada ketikanya saya perlu beri ruang untuk Siti dan keluarga. Biarlah dia bersama keluarganya di sana,” beritahu Datuk K lagi.

sumber: mStar online

Seputar Konsert SATU Siti

Konsert eksklusif ‘SATU’ Siti Nurhaliza di IB!

Konsert Eksklusif ‘SATU’ Datuk Siti Nurhaliza akan diadakan di Istana Budaya pada 26 hingga 28 Jun depan

KERAP kali diperhatikan, penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza akan mengusap-usap cincin yang disarungkan di jari hantu tangan kanannya semasa ditemubual.

Menurut Siti, cincin itu merupakan pemberian istimewa daripada arwah bapanya, Tarudin Ismail yang sentiasa dipakainya apabila ke mana-mana.

Bagi Siti, cincin itu begitu bermakna dan menjadikannya sebagai hadiah kenangan pemberian arwah bapanya.

Dan memandangkan Hari Bapa juga bakal berlangsung pada bulan depan, Siti berhasrat untuk mengadakan sebuah konsert amal anjuran badan kebajikan Yayasan Nurjiwa yang ditubuhkan olehnya dan suami pada tahun 2006 serta diterbitkan oleh Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd.

Idea untuk mengadakan Konsert Eksklusif ‘SATU’ ini telah lama dibualkan sejak beberapa tahun lalu namun baru sekarang ia terlaksana.

Kata Siti, konsert ini merupakan persembahan eksklusif solo pertamanya di Istana Budaya (IB).

“Sebelum ini, saya banyak melakukan persembahan tribute di IB tetapi kali ini saya akan sampaikan lagu-lagu dari album sendiri.

“Konsert ini akan diadakan tidak lama lagi iaitu pada 26 hingga 28 Jun depan. Jadi, tinggal kurang daripada sebulan untuk saya berlatih dan memikirkan isi kandungan dalam konsert ini.

“Biasanya, saya lebih selesa untuk membuat persediaan konsert dalam masa dua bulan tetapi tidak bermakna persembahan ini hanya ‘tangkap muat’ kerana saya tetap pentingkan kualiti.

“Saya nak jadikan konsert ini sebagai persembahan bermakna untuk tahun ini sebab saya sudah lama tidak membuat konsert dan ia merupakan impian saya yang nak cuba realisasikan,” ujar Siti semasa sidang media konsert itu di IB semalam.

Menurut Siti, konsert yang ditaja oleh Maxis, Tan Sri Abdullah Ali dan Jakel (kain dan persalinan) itu masih menunggu mana-mana pihak atau badan korporat yang berminat untuk mengisi dana dalam Yayasan Nurjiwa.

Konsert ‘SATU’ terilham daripada saranan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak yang memberi inspirasi ‘SATU MALAYSIA’.

Menurut Siti, konsert ‘SATU’ terilham daripada saranan , Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak yang memberi inspirasi ‘SATU MALAYSIA’

Konsert ‘SATU’ juga menyatukan semua elemen yang dipersembahkan di pentas menjadi satu iaitu muzik, efek, tarian, visual, grafik, koreografi dan teknikal.

“Saya memilih konsep ‘SATU’ kerana semua yang akan terjadi adalah satu di mana bukan membawa diri saya seorang sahaja selama dua jam tetapi turut dimuatkan dengan koreografi, pencahayaan, grafik dan lain-lain.

“Selain itu, emosi saya juga bersatu seperti suasana gembira, berduka dan segala-galanya dalam persembahan ini.

“Saya juga menyahut seruan ‘Satu Suara’ tetapi ia tidak ditonjolkan secara terus-menerus sebaliknya secara simbolik dalam konsert ini,” ulas Siti.

Menurut Siti, konsert beranggaran lebih setengah juta itu akan menghidangkan lebih kurang 30 buah lagu yang akan disusun semula muziknya oleh Aubrey Suwito selaku pengarah muzik manakala koreografer Pat Ibrahim bertindak sebagai pengarah konsert.

Jelas Siti, dia memilih Pat sebagai pengarah konsert atas dasar percaya dan berminat melihat cara Pat mengendalikan koreografi dalam teater Muzikal Puteri Gunung Ledang kerana konsert ini juga memerlukan lebih kepada gerak tari yang bergerak sama dengan nyanyian.

“Dalam konsert ini, kita akan memuatkan ‘live string’ dan bukan semua lagu dipersembahkan dalam bentuk orkestra kerana ia perlu mengikut kesesuaian lagu juga.

“Setakat ini, saya dijangka akan menyanyikan lagu-lagu daripada album Transkripsi sehingga album Lentera Timur. Lagu-lagu ini akan dinyanyikan secara penuh dan juga medley.

“Kelainan yang cuba ditonjolkan dalam konsert ini adalah dari segi nyanyian dan sedikit lakonan yang memerlukan emosi serta tarian untuk segmen tertentu mengikut rentak dan jalan cerita lagu itu nanti.

“Seperti yang dibincangkan, konsert ini akan memaparkan permulaan saya sejak bersekolah kemudian menceburi bidang nyanyian. Selepas itu, saya menempa kejayaan dan menerima pelbagai cabaran dan gosip.

“Bermula daripada situ, timbul mood kemarahan dan cabaran yang menjadi pendirian saya.

“Seterusnya, saya memasuki alam baru yang semakin dewasa dan bercinta dengan memasukkan lagu yang menyentuh perasaan sehinggalah ke satu tahap saya berada sekarang,” cerita Siti mengenai sedikit gambaran konsert itu.

Dalam pada itu, Pat berkata sudah lama dia menantikan peluang ini untuk merealisasikan konsert bercorak ‘theatrical’ itu.

“Saya memilih konsep ‘theatrical’ kerana sesuai dengan tempat ini dan sia-sia tidak menggunakan draf pentas di sini.

“Ia juga mampu membangkitkan rasa untuk lagu itu dan membuat kelainan bukan kepada penceritaan tetapi luahan rasa Siti yang ingin dihargai oleh penonton.

“Kita akan menggunakan dalam 25 orang penari. Kita akan ‘evoke’ perasaan tetapi tidak ‘explain’ pendirian dan kemarahan Siti itu,” ujar Pat.

Saksikan Konsert Eksklusif ‘SATU’ Datuk Siti Nurhaliza di Istana Budaya pada 26 hingga 28 Jun depan.

Tiket-tiket sudah dijual bermula semalam, 19 Mei pada harga RM80, RM120, RM180, RM250 dan RM300 yang boleh didapati di Istana Budaya, Triways Travel & Tours (KLCC dan Taman Tun Dr. Ismail), Malaysia Travel Bureau, MTB (MATIC), Sri Amera Holiday Sdn. Bhd. di tingkat 1, Plaza Alam Sentral Shah Alam dan di Pasar Awam Presint 16, Putrajaya dan TicketCharge, 29-5, Signature Office Suite, The Boulevard, Mid Valley.

Tiket juga boleh didapati dengan menghubungi 03-41498600 (Isnin hingga Jumaat dari pukul 9 pagi hingga 6 petang).

sumber: mStar online

Sabtu, Mei 02, 2009

Tahniah, Siti!!



Congratulation Siti Nurhaliza
Kerana beRjaya dalam Anugerah Industri Muzik 16

Siti Unggul dalam AIM 16


Pencapaian Siti Nurhaliza dalam AIM 16

KUALA LUMPUR: Keunggulan penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin masih menjadi hak miliknya apabila lagu-lagu dan album nyanyiannya masih dinobatkan sebagai yang terbaik.

Siti memenangi empat anugerah dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-16 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam tadi.

Anugerah itu adalah Album Pop Etnik Terbaik (Lentera Timur), Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) - Di Taman Teman, Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu (Pada CintaNya) dan Album Terbaik (Lentera Timur).

Sementara itu, penyanyi Misha Omar buat pertama kalinya berjaya meraih empat anugerah iaitu Lagu Pop Etnik Terbaik (Nafas Cahaya), Lagu Pop Terbaik (Cinta Adam & Hawa), Lagu Terbaik (Nafas Cahaya) dan Album Pop Terbaik (Misha Omar).

Bagaimanapun, Siti tidak dapat menghadirkan diri ke majlis tersebut yang dihoskan oleh Adibah Noor, Asdlin Shauki, dan Bob Lokman kerana sedang mengerjakan umrah.

Saida Taruddin (kiri) mewakili adiknya, Datuk Siti Nurhaliza menerima Anugerah Album Pop Etnik Terbaik daripada Noraniza Idris.

Sebanyak 28 kategori dipertandingkan. Pemenang bagi setiap kategori:

1) Artis Baru Terbaik: Meet Uncle Hussain

2) Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki): Aizat- Lagu Kita

3) Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita): Datuk Siti Nurhaliza- Di Taman Teman

4) Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Lagu: Raihan- Assubhu Bada

5) Kulit Album Terbaik - Pereka: Vignes Balasingam (Album : Remain Unknown; Artis: Estranged

6) Rakaman Album Terbaik- Jururakam: Reshmonu, Murali, Will Quinell & C.L. Toh (Album: Harapan; Artis: Reshmonu)

7) Video Muzik Terbaik - Pengarah: Kerol (Video Muzik: 1000 Tahun (Mahu Hidup); Artis : Butterfingers)

8) Album Pop Etnik Terbaik: Lentera Timur (Artis: Datuk Siti Nurhaliza; Produser: Johari Teh, Johan Nawawi, Aubrey Suwito, M. Nasir, Khairil Johari Johar, Fauzi Marzuki, Adnan Abu Hassan, Pak Ngah, Zul Mahat, S. Atan & Datuk Siti Nurhaliza)

9) Lagu Pop Etnik Terbaik : Nafas Cahaya (Komposer: M. Nasir; Penulis Lirik: Loloq; Artis: Misha Omar)

10) Album Nasyid Terbaik: Nostalgia Nadamurni (Artis: Rabbani; Produser: Salleh Brotherz)

11) Lagu Nasyid Terbaik: Bila Nur Melimpah Di Hati (Komposer: Asri Ibrahim; Penulis Lirik: Ito Lara; Artis: Rabbani

12) Album Rock Terbaik: Hujan (Artis: Hujan; Produser: Noh Hujan)

13) Lagu Rock Terbaik: Bila Aku Sudah Tiada (Komposer: Noh Hujan; Penulis Lirik: Noh Hujan; Artis: Hujan)

14) Album Pop Terbaik: Misha Omar (Artis: Misha Omar; Produser: Ramli M.S., Ajai, Aidit Alfian, Azmeer, Cat Farish & Nurfatima)

15) Lagu Pop Terbaik: Cinta Adam & Hawa (Komposer: Azmeer; Penulis Lirik: Loloq; Artis: Misha Omar)

16) Lagu Hip Hop Terbaik: Mentera Beradu (Komposer: Malique, D’Navigator & M. Nasir; Penulis Lirik: Malique & M. Nasir; Artis: Malique feat M. Nasir)

17) Album Hip Hop Terbaik: OK (Artis: Malique)

18) Album Inggeris Tempatan Terbaik: President (Artis: Joe Flizzow; Produser: DJ T-Bone, Goldfish, Koko, Syaheed, Terrytyelee, DJ Iman, Don M, Joe Flizzow & Khan)

19) Lagu Inggeris Tempatan Terbaik: KL Streets (Komposer: Malique & D’Navigator; Penulis Lirik: Malique; Artis: Malique feat Lah)

20) Album Cina Tempatan Terbaik: Will Be Good (Artis: Will Ng; Produser: Cheng Lee, Will Ng & David Koon)

21) Lagu Cina Tempatan Terbaik: Man Jiang Hong (Komposer: Alex San; Penulis Lirik: Ah Guan; Artis: Man Jiang Hong)

22) Album India Tempatan Terbaik: Ethirrpaarkiren (Artis: Anbarasan & Anuratha; Produser: Anbarasan & Anuratha)

23) Lagu India Tempatan Terbaik: Ethirrpaarkiren (Komposer: Anbarasan; Penulis Lirik: Divya Saraswathy; Artis: Anbarasan & Anuratha)

24) Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara: Ayat-Ayat Cinta - Rossa

25) Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu - Penggubah: Audi Mok (Lagu: Pada CintaNya; Artis: Datuk Siti Nurhaliza)

26) Lagu Terbaik: Nafas Cahaya (Misha Omar)

27) Album Terbaik: Lentera Timur (Datuk Siti Nurhaliza)

28) Anugerah Wirama: Habsah Hassan (Penulis Lirik)

sumber : utusan malaysia online

Jumat, Mei 01, 2009

Peluang Siti di AIM 16


"Bukan selalu Siti menang"

UNGGUL... Siti Nurhaliza bersama sebahagian daripada trofi Anugerah Industri Muzik yang diterimanya sepanjang 12 tahun menyertai anugerah berprestij itu.

DIAM tak diam, acara anugerah Anugerah Industri Muzik (AIM) sudah pun memasuki tahun ke-16. Tahun ini, AIM akan bersiaran pada 2 Mei ini secara langsung dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur menerusi saluran ntv7.

Bermula dengan penganjuran pertama pada tahun 1994, AIM dilihat sebagai pentas dan platform bagi mengiktiraf hasil karya komposer, penulis lirik, penyanyi serta mereka yang terlibat di belakang tabir.

Sehingga kini, AIM masih lagi relevan biarpun ketika industri muzik berhadapan dengan kegawatan.

Apa pun diperkatakan orang tentang AIM, satu perkara yang harus diakui tentang anugerah istimewa ini adalah ia merupakan pembakar semangat serta memotivasi anak seni untuk menghasilkan karya yang lebih baik tahun demi tahun.

Ini diakui sendiri oleh biduanita muda negara, Datuk Siti Nurhaliza yang cukup sinonim dengan AIM.

Sehingga kini, nama dan albumnya belum pernah gagal untuk membolosi tembok kebal AIM.

Pentas AIM pada tahun 1997 membawa kemenangan terindah buat Siti apabila dia membawa pulang dua trofi iaitu Artis Baru Wanita Terbaik dan Lagu Terbaik untuk Jerat Percintaan sebagai mengiktiraf kejayaannya sebagai bakat baru yang cukup menyinar.

Kata Siti, kejayaan pertamanya di AIM itu bukanlah petanda untuk dia terus berasa selesa dengan kedudukannya tetapi ia adalah pembakar semangat untuk memberikan yang terbaik dalam setiap albumnya.

Bermula detik itu, nama Siti tidak pernah terlepas daripada dicalonkan setiap tahun di AIM sehingga menimbulkan rasa kurang senang segelintir pihak.

Rekod cemerlangnya yang berjaya memiliki sembilan trofi Persembahan Vokal Wanita Terbaik serta empat trofi Album Terbaik setakat ini menjadikan dia merupakan calon paling 'digeruni'.

"Saya tidak menafikan setiap tahun saya hasilkan album untuk menyertai AIM tetapi bukan untuk saya seorang. Saya mahu melihat mereka yang bekerja keras menghasilkan album saya diiktiraf oleh juri AIM.

"Kejayaan yang saya miliki sepanjang menyertai AIM tidak hadir dengan sendiri.

"Ia berkat sokongan dan kerja keras semua pihak yang tidak pernah putus memberikan idea kreatif untuk setiap album saya," kata Siti sewaktu sesi fotografi di pejabat urusan Siti Nurhaliza Productions (SNP) yang terletak di Taman Connaught, Cheras, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambahnya, kemenangan yang sentiasa berpihak kepadanya saban tahun merupakan rezeki Allah.

"Saya menganggap kemenangan itu satu perkara yang serius untuk saya menggandakan usaha. Lagipun, bukannya selalu saya menang dalam AIM.

"Saya percaya juri bijak menilai dalam mengiktiraf mereka yang dirasakan layak untuk digelar sebagai pemenang," katanya yang pernah pulang dengan tangan kosong pada AIM 1998 biarpun menerima empat pencalonan.

Tetap berkualiti

Biarpun albumnya saban tahun tidak pernah tercicir menerima pencalonan, anak kelahiran Kampung Awah, Temerloh, Pahang ini menjelaskan, penghasilan setiap albumnya tetap mementingkan kualiti.

Tambahnya, mungkin kerana, masyarakat melihat albumnya pantas dipasarkan setiap tahun menjadikan mereka skeptikal dengan kualiti karyanya.

Apatah lagi, selepas kejayaan album Transkripsi yang dianggap album terbaik Siti, dua buah album menyusul selepas itu iaitu Hadiah Daripada Hati dan Lentera Timur dikatakan tidak mampu menyaingi kehebatan Transkripsi.

Untuk pengetahuan, Transkripsi yang memuatkan lagu popular Biarlah Rahsia, Destinasi Cinta dan Bisakah itu telah dinobatkan sebagai Album Terbaik dan Album Pop Terbaik pada AIM 14 pada tahun 2007.

Dengan nada serius, Siti berkata, setiap tahun, dia dan pihak SNP akan duduk berbincang mengenai mekanisme terbaru untuk menghasilkan album.

"Saya mengambil semua kritikan untuk memperbaiki segala kelemahan demi kepuasan peminat kerana mereka merupakan pengkritik utama saya.

"Dalam pada itu juga, saya melihat AIM sebagai pentas untuk saya belajar dan memperolehi idea baru terutama dari segi teknikal yang boleh saya aplikasikan dalam album saya seterusnya.

"Bukan meniru tetapi ia adalah satu proses pembelajaran," ujarnya yang menyifatkan anugerah Kembara AIM diterimanya sebanyak tiga kali antara kenangan terindah sepanjang bergelar anak seni.

Persaingan sihat

Mengalih topik perbualan kepada tujuh pencalonan yang diterimanya tahun ini menerusi album Lentera Timur, isteri kepada usahawan terkenal, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa ini ternyata gembira dan bersyukur dengan pencalonan yang diterimanya.

Apatah lagi, setelah lima tahun tidak tampil dengan album tradisional selepas Sanggar Mustika, Siti melihat ia sebagai satu perkembangan yang positif sementelah lagu-lagu berkenaan agak kurang meriah berbanding sedekad lalu.

Lentera Timur dicalonkan untuk Album Pop Etnik Terbaik manakala dua lagu di dalam album itu, Di Kayangan Kita dan Di Taman Teman masing-masing dicalonkan untuk Lagu Pop Etnik Terbaik.

Selain itu, Di Taman Teman turut dicalonkan dalam kategori Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu di samping sebuah lagi lagu nyanyian Siti, Pada Cintanya yang merupakan gubahan Audi Mok.

Vokal emas penghibur berusia 30 tahun ini diiktiraf sekali lagi apabila menerima dua pencalonan untuk kategori Persembahan Vokal Wanita Terbaik Di Dalam Lagu menerusi Di Kayangan Kita dan Di Taman Teman.

Seperti biasa, Siti tidak mahu menaruh harapan yang tinggi untuk membawa pulang gelaran itu buat kali ke-10 walaupun kedua-dua lagu berlainan nuansa dan sentuhan, namun, tidak dinafikan ia cukup mencabar vokalnya.

Ini kerana katanya, pesaingnya tahun ini tidak boleh dipandang enteng kerana mereka mempunyai kehebatan serta kredibiliti tersendiri walaupun mereka jauh lebih muda daripadanya.

Mereka yang dimaksudkan adalah Dina, naib juara Malaysian Idol musim pertama serta juara dan naib juara One In A Million musim kedua, Ayu Damit dan Shila.

"Senario ini adalah satu persaingan yang baik dan sihat. Biarpun AIM tidak lagi menilai vokal dari segi keseluruhan album dan hanya menerusi lagu, tetapi ia adalah satu langkah yang bagus seperti mana yang dilakukan di anugerah Grammy.

"Setidak-tidaknya, ia mampu memberi peluang kepada semua artis yang tidak menghasilkan album untuk dicalonkan biarpun hanya menerusi lagu.

"Menang atau kalah, saya tidak kisah," tuturnya sambil memberitahu dia tidak akan hadir untuk AIM 16 kerana akan mengerjakan umrah bersama keluarganya pada hari acara gilang-gemilang itu berlangsung.

Album kerohanian

Berbicara tentang perancangan masa depannya pula, pemilik vokal lagu Purnama Merindu dan Kau Kekasihku ini berkongsi rancangannya untuk tampil dengan album kerohanian untuk pasaran bulan Ramadan kelak.

Semuanya adalah kerana impak yang terhasil sejak dia terlibat dalam pementasan teater muzikal, Sirah Junjungan Tahajud Cinta baru-baru ini.

"Insya-Allah, perancangan itu dilakukan selepas menerima respons yang baik daripada peminat dan audiens. Kita tengoklah macam mana nanti," ujarnya sambil menguntum senyuman manis.

Dalam pada itu, satu lagi impian anak pasangan Allahyarham Tarudin Ismail dan Siti Salmah Bachik adalah untuk menghasilkan sebuah album di mana muziknya di mainkan secara live dengan diiringi oleh orkestra.

Bukan itu sahaja, keinginannya untuk melahirkan sebuah album Inggeris tidak pernah pudar dan jika peluang itu hadir kelak, dia mahu melihat album itu tercalon dalam AIM.

"Apa yang saya harapkan rezeki saya akan sentiasa murah untuk terus menghasilkan album berkualiti demi peminat dan pencinta muzik.

"Namun begitu, seandainya di masa hadapan, saya tidak lagi mampu untuk melahirkan sebuah album penuh, itu realiti yang harus diterima," katanya yang bakal mengadakan konsert istimewa di Istana Budaya pada Jun ini.